Pages

Kisah Qabil dan Habil

Sunday, May 01, 2011
Adam a.s telah mengingkari larangan Allah. Dia dan Hawa makan buah dari pohon khuld yang diharamkan Allah ketika berada di dalam syurga. Akibatnya kedua-duanya dicampak oleh Allah ke bumi.

Syaitan berasa amat gembira dan ketawa kepada Adam dan Hawa, selepas dia berjaya meragukan Adam dan Hawa sehingga mereka makan buah dari pohon khuld dan diusir oleh Allah dari syurga. Syaitan juga diusir dan dicampak ke bumi.


Adam dan Hawa amat menyesal dengan kesilapan terhadap Allah, tetapi syaitan amat gembira kerana telah menyesatkan Adam dan Hawa. Bermula dari detik itu Adam dan Hawa mengetahui dan mengenali syaitan merupakan musuh utama kepada keturunannya.

Adam dicampak oleh di sebuah bukit Hind. Manakala Hawa dicampak di sebuah bukit di bumi Hijaz (Arab Saudi).Adam dan Hawa tidak tahu di mana mereka berada dan bagaimana cara mereka bertemu. Ketika itu di bumi tidak ada makhluk lain kecuali mereka berdua.

Adam dan Hawa menanggis dan mereka bertaubat, akhirnya Allah menerima taubat mereka dan berjanji satu hari nanti mereka akan kembali ke syurga.

Tetapi mereka berdua masih terpisah, Adam berjalan ke hulu dan ke hilir namun ia tetap tidak berjumpa dengan sesiapa pun. Lalu Adam menyeru, seruan tidak mendapat sambutan sebaliknya dia hanya mendengar lantunan suaranya.

Adam teringat ketika di dalam syurga, Malaikat mengelilingi arash Allah swt, bertasbih mengagung kebesaran Allah dan memujiNya (Subha nalLah) (AlhamdulilLah) dan menafikan Allah dari segala keaiban.
Adam berkata; “Wahai Tuhanku! Aku keseorangan bertasbih kepadaMu di bumi yang luas ini.Ada tak orang lain yang bertasbih kepadaMu di bumi ini?”

Allah berjanji dengan Adam bahawa dikalangan anank-anaknya dan keturunannya yang sedia bertasbih dan memuji kebesaran Allah swt. Mereka akan membina masjid untuk bersembahyang dan berzikir kepada Allah. Di antara masjid itu ialah BaitulLah hil Haram, mereka menunaikan haji dan tawaf di BaitulLah hil Haram dan mereka datang dari seluruh pelusuk dunia. BaitulLah adalah bangunan yang pertama wujud di bumi ini.

Adam berkata; “Wahai Tuhanku! Di mana kedudukan BaitulLah hil Haram?”
Allah SWT memberitahu Adam BaitulLah berada di bumi Mekah
Adam berasa begitu rindu dan terpanggil untuk menziarahi BaitulLah. Allah mengetahui kerinduan dan keikhlasan Adam untuk menziarahi BaitulLah, lalu Allah memerintah
Adam segera pergi ke BaitulLah untuk tawaf dan berzikir kepada Allah.

Adam berlari dengan sepenuh tenaganya dan bercita-cita melakukan tawaf di BaitulLah seperti yang dilakukan oleh Malaikat di Baitul Makmur di langit mengelilingi Arash Allah SWT. Ketika Adam berlari ke Mekah, dia merasakan seolah-olah Allah mengurniakan kepadanya dua sayap dan sampai ke Mekah dalam waktu yang segera. Dari jauh dia nampak bayangan manusia lain. Dia terus mendekatinya dan berasa yakin itu adalah Hawa. Hati amat gembira kerana akhirnya dia bertemu kembali dengan Hawa.

Mereka bertemu di sebuah bukit di Mekah yang dikenali dengan Arafah.
Mereka berdua segera bertolak ke BaitulLah, sampai ke BaitulLah mereka dapati ada sebiji permata lalu mereka tawaf mengelilinginya dan banyak berzikir kepada Allah.
Selepas tawaf Adam dan Hawa memulakan perjalanan ke Hind. Perjalanan yang amat mengembirakan mereka lebih-lebih Allah telah menerima taubat mereka.

Bermula kehidupan baru, di dunia yang penuh dengan kesusahan dan keletihan. Di dalam syurga Adam dan Hawa tidak pernah merasa lapar dan dahaga. Lapar dan dahaga merupakan dua petanda bagi perut manusia. Adam dan Hawa berasa sakit dalam perut, mereka tidak tahu kenapa? Perut mereka terus sakit sehingga mereka tidak mampu berjalan, tidak boleh tidur, kepala pening dan kedua-dua mata tidak melihat dengan baik.

Malaikat Jibrail turun lalu mengayakan sakit perut yang dialami oleh mereka.
Malaikat berkata; “wahai Adam! Inilah kelaparan.”
Adam menjawab; “kelaparan!!! dengan penuh kehairanan. Apa yang perlu aku buat?”
Malaikat; ‘Berdoalah kepada Allah supaya memberi kamu makanan dan mengeyangkan kamu.”
Mengalir air mata Adam dan Hawa kerana mereka teringat ketika di dalam syurga, mereka makan buah-buahan dari pokok dan meminum air dari sungai. Alangkah ruginya nikmat yang telah hilang! Alangkah rugi kerehatan yang telah berlalu! Mereka berdua terus berdoa kepada Allah SWT.

Tetapi perut terus berteriak kelaparan, bunyinya semakin kuat dan kelaparan bertambah lapar hampir-hampir membawa kematian. Adam dan Hawa amat bersungguh sungguh meminta pertolongan dan bermunajat kepadaAllah SWT.

Akhirnya Jibril turun membawa benih gandum dan diletakkan dalam tangan Adam sambil berkata wahai Adam! Ini makanan kamu yang diambil dari syurga.
Adam berasa amat gembira lalu berkata; “sekarang boleh aku makan?”
Jibril; “tidak! Bahkan kamu hendak semainya di dalam tanah.”

Bersegeralah Adam menyemai benih gandum, selepas Adam menyemai Allah terus menumbuhkan pokok gamdum. Adam amat gembira dan berkata: “wahai Jibril! Boleh aku makan sekarang?”
Jibril; “tidak! Kamu kena tuai dulu?’
Adam; “macam mana menuai?”

Lalu Jibril mengajar Adam menuai. Oleh kerana terlalu lapar Adam tidak ada helah melainkan segera menuai gandum seperti yang diajar oleh Jibril. Apatah lagi bila Adam melihat Hawa menanggis menahan kelaparan. Adam terus menuai dengan penuh tekun sehingga selesai menuai dan bersyukur kepada Allah dengan memuji alhamdulilLah.

Kemudian dia berkata kepada Jibril; “sekarang bolehkah saya dan Hawa makan?”
Jibril; “tidak! Kamu kena asingkan gandum yang boleh dimakan dengan yang tidak boleh dimakan. Dalam keadaan keletihan Adam berkata; bagaimana cara mengasingkan gandum?”

Maka Jibril terus mengajar Adam cara mengasingkan gandum
Adam terus mengasingkan gandum yang boleh dimakan dengan yang tidak boleh dimakan seperti yang diajar oleh Malaikat Jibril. Perutnya berbunyi semakin kuat seolah-olah sebahgian berlanggar dengan sebahagian yang lain. Adam terus bekerja keras sehingga badan terus dibasahi oleh peluh yang mengalir keluar dahi ke hidung, ke pipi dan ke mulutnya. Setelah selesai mengasingkan gandum Adam mengenggam gandum untuk di suap ke mulutnya, tiba-tiba Malaikat Jibril berkata;” tunggu dulu wahai Adam! Kamu kena hancurkan gandum dahulu.”

Dalam kelaparan yang semakin mencengkam Adam bertanya bagaimana cara menghancurkanya?
Lalu Malaikat Jibril mengambil dua ketul batu dijadikan sebagai pengisar dan berkata inilah pengisar.
Adam pun pengisar dan segera mengisar gandum. Dalam tercunggap-cunggap dan nafas yang terputus-putus dia terus mengisar gandum. Apa yang bermain difikiran hanya makanan untuk diri dan isterinya. Setelah selesai mengisar sekali lagi Adam mengenggamnya untuk makan. Malaikat Jibril berkata“Ehh eeh eeh Adam !tunggu dulu tak boleh makan lagi kamu kena uli dulu.”

Oleh kerana terlalu letih Adam berasa malas dan berasa amat sedih bila mengenangkan ketika dia di dalam syurga dan sebab dia diusir dari syurga dia mengeluh! Alangkah baiknya jika aku tidak melanggar perintah Allah! dan aku tak perlu makan pokok gandum.

Malaikat Jibril terus mengajar Adam cara menguli tepung gandum dan Adam mengikut cara menguli tepung, semasa Adam terus menguli sehingga sebati Malaikat berkata; “wahai Adam selesai menguli kamu kena bakar dahulu kemudian baru makan.”
Adam: “bagaimana cara membakarnya?”
Malaikat Jibril; “Nyalakan api”
Adam; “macam mana nak nyalakan api?”
Malaikat Jibril; “pergi himpun ranting-ranting kaju yang kering lalu Adam segera mengumpul ranting kayu yang kering dan dibawa kepada Malaikat Jibril.”

Malaikat Jibril mengambil dua ketul batu lalu dipukul kedua-dua batu percikan api lalu menyambar ranting yang telah dikumpul Adam.

Adam segera meletak sebahagian tepung yang diuli di atas api lalu terbakar dan terkena tangannya dan berteriak kesakitan.Maka Malaikat Jibril berkata; “Kamu telah melanggari perintah Allah maka api pun membakar kamu wahai Adam!”

Kemudian Malaikat Jibril mengajar cara membakar roti dan Adam terus membakar roti seperti yang di ajar. Api hampir-hampir terpadam disebabkan oleh peluh yang mengalir dari tubuh Adam. Kelaparan terus mencengkamnya, dia terkenang syurga terus mengalir air mata kesedihannya dan akhir selesai Adam membakar roti. Malaikat Jibril berkata: “sekarang kamu boleh makan”

Adam terus membawa roti kepada Hawa, dan mereka menyebut nama Allah barulah mereka berdua makan setelah selesai makan barulah rasa lapar hilang. Adam dan Hawa terkenang makanan syurga yang lazat, teringgat perintah Allah supaya jangan memakan dari pokok khuld dan teringgat merekan dicampak keluar dari syurga lalu mereka berdua menanggis dan bertambah kuat suara tanggisan Adam dan Hawa.

Sesungguh telah tamat hari-hari bahagia dan kerehatan dalam syurga. Bermulalah kehidupan yang susah dan sukar di dunia. Mereka tidak dapat kembali ke syurga melainkan selepas kematian. Alangkah panjang kehidupan dunia yang penuh keletihan dan kesukaran.

Apalah jika dibandingkan menghadapi kesukaran hari-hari di dunia dengan hari-hari kebahagian di syurga. Inilah hal keadaan Adam dan Hawa, mereka berdua tetap terus berusaha, bekerja keras tidak ada sesiapa membantu atau menjadi penolong kerana hanya mereka berdua sahaja yang hidup di bumi luas
Allah SWT hendaklah menurunkan syariat atau agama dan pendidikan kepada Adam.

Adam berkata; “Hanya kami berdua sahaja di dunia, kepada siapakah syariat ditujukan dan kami kepada siapa akan diajar syariat?”

Adam teringat Allah telah akan memenuhi dunia dengan keturunannya. Adam ternanti-nanti bilakah Allah akan mengurniakan kepadanya zuriat.

Beberapa hari berlalu, Hawa telah hamil dan Adam amat gembira, dia bakal menjadi bapa. Kesukaran semasa Hawa mengandung samalah seperti kesukaran yang dirasai oleh ibu-ibu kita, rasa letih, sakit dan kadang-kadang rasa macam nak mati.

Allah telah mengurniakan kandungan kembar kepada Hawa, seorang lelaki dan seorang perempuan. Adam amat gembira dengan kurniaan Allah dan memuji kebesaran Allah SWT, anak lelaki diberi nama Qabil dan anak perempuan diberi nama Iklimiaya’. Iklimiaya’ seorang anak sangat yang cantik dan comel sesiapa yang memandang wajahnya tidak akan merasa puas dan jemu.

Selepas beberapa bulan Hawa mengandung lagi, kali ini juga dia dikurniakan oleh Allah kandungan kembar. Seorang lelaki yang diberi nama Habil dan seorang perempuan diberi nama Lubuda. Keempat-empat orang anak membesar dengan penuh kasih sayang.

Adam tidak membezakan kasih sayang kepada empat anak-anaknya berdasarkan rupa paras, kesemuanya diberi kasih sayang yang sama rata.

Semakin hari anak-anaknya semakin membesar, mereka mula menolong ibubapa mereka.Qabil memilih untuk bercucuk tanam membantu bapanya. Tanamannya semakin subur dan mendapat hasil yang banyak, hasil tanamanya dijadikan sebagai makanan kepada keluarganya.

Manakala Habil menjadi penternak, dia menternak kambing, unta dan lembu, supaya mereka sekeluarga dapat minum susu, memakan daging. Kulit kambing, unta dan lembu dijadikan pakaian, hamparan dan bekas makanan dan minuman.

Manakala Iklimiaya’ dan Lubuda, mereka berdua membantu Hawa mengemas rumah, masak dan sebagainya. Setelah waktu petang Nabi Adam dan anak-anaknya pulang ke rumah, kemudian membersihkan diri masing-masing. Selepas mereka sekeluarga makan bersama. Ketika makan Qabil dan Habil memcuri-curi pandang kepada Iklimiaya’ yang cantik jelita. Sehingga terserlah keburukan pandangan Qabil dan Habil kepada Iklimiaya’

Perkara ini bukan lagi menjadi rahsia kepada Nabi Adam as. Adam as merasakan kedua anak lelakinya telah meningkat dewasa, telah bersedia berkahwin. Nabi Adam as merasakan dia perlu mengahwinkan putera-puteri dengan segera.

Oleh kerana di bumi ketika hanya ada mereka berempat, maka Allah menurunkan syariat kepada Adam as supaya mengahwinkan putera dan puterinya.dengan syarat tidak boleh berkahwin dengan pasangan kembar masing-masing. Qabil kena kahwin dengan Lubuda yang merupakan kembar kepada Habil. Manakala Habil kena kahwin dengan Iklimaya’ kembar kepada Qabil.

Nabi Adam as berazam akan mengahwinkan anak-anaknya setelah selesai makan. Apabila selesai makan Adam memanggil isteri dan semua anak-anaknya dalam tersenyum Adam berkata telah sampai masa untuk Qabil dan Habil berkahwin. Qabil dan Habil amat gembira dengan kenyataan bapa mereka. Manakala dua puterinya, muka mereka berubah kemerah-merahan kerana malu.

Lalu Nabi Adam berkata; “Maka aku mengahwinkan Qabil dengan Lubuda dan Habil dengan Iklimiaya’.”

Semua anak-anaknya bergembira kecuali Qabil dalam keadaan marah dia bertempik; Habil sekali-kali tidak boleh berkahwin dengan Iklimiaya’ kerana Iklimiaya’ hanya untuk dirinya sahaja dan dia lebih berhak dari Habil.

Nabi Adam as cuba menenangkan kemarahan Qabil dengan berkata; “Wahai Qabil! yang kusayang, sesungguhnya Allah telah mengharamkan Iklimiaya’ kepada kamu! Dia hanya halal untuk Habil. Maka kamu kenalah taat dengan perintah Allah.”

Qabil menjawab dengan penuh beremosi; “Tidak! Saya tidak sekali-kali akan taat melainkan hanya kepada diri saya sahaja.Iklimiaya’ untuk Qabil bukan untuk Habil.” Adam terus berkata “Allah menyuruh kamu berkahwin dengan Lubuda.” Qabil merasakan bara api kemarahan terus bernyala di dalam dadanya sambil memandang kepada Iklimiaya’ dan dia dapati alangkah cantiknya Iklimiaya’ seolah-olah mentari yang bersinar di waktu malam. Qabil tidak menyedari bahawa api kemarahan itu dinyalakan oleh syaitan,

Lalu Qabil keluar, perasan marah hampir membunuhnya. Dia berjalan ke hulu dan ke hilir tidak tentu arah dan tidak tahu ke mana dia pergi, yang berlegar-legar dalam fikirannya hanyalah Iklimiaya’.
Syaitan dapati Qabil amat mudah untuk diperangkap, dia amat bergembira lalu mendatang was-was dengan membisik-bisik di dalam hati Qabil dengan berkata; “Hah! Ha ! Ha! Bapa kamu lebih sayang kepada Habil sebab itu bapa kamu kahwinkan Habil dengan Iklimiaya’ yang cantik jelita dan kahwinkan kamu dengan Lubuda yang hodoh.”

Syaitan terus menghasut dan menyalakan api permusuhan Qabil terhadap Habil, lalu ia berbisik-bisik kepada Qabil; “Cuba kamu tengok Habil jadi penternak, kerja dia tak susah dan tidak meletihkan, kamu pula jadi pesawah kena bangun awal, kena bajak tanah, kena baja tanah, kena tanam benih, kena jaga anak benih, kena tuai tanaman….. selepas susah payah dan letih kena kahwin dengan Lubuda yang hodoh ….Habil senang-senang dapat kahwin dengan Iklimiaya’ yang cantik jelita! Ini mana adil!!!”

Sebenarnya Qabil lupa bahawa setiap pekerjaan ada halangan dan cabarannya. Begitu juga dengan Habil yang menghadapi berbagai kesukaran sebagai peternak kambing. Dia juga keluar pagi pagi membawa kambing pergi mencari makan dan minum di kawasan yang berhampiran hutan, menjaga ternakannya dari gangguan serigala, mengubati kambingnya yang sakit dan itulah rutin harian seorang penternak.
Namun Qabil tetap tidak puas hati, nafsunya terus memberontak dan dia bersumpah Iklimiya’ miliknya walaupun apa terjadi. Lewat malam Qabil pulang ke rumah, dia dapati bapanya masih belum tidur. Kesedihan jelas terpancar di wajah Qabil.

Syaitan menyedari, Adam tidak memilih dalam memberi kasih sayang terhadap anak-anaknya. Esoknya Adam memanggil Qabil dan Habil dengan penuh kasih sayang dia berkata kepada kedua dua anaknya, “Wahai Qabil ! kamu korbanlah sesuatu dari hasil tanaman kamu kepada Allah. Wahai Habil! Kamu juga korbanlah sesuatu dari hasil ternakan kamu kepada Allah. Sesiapa yang korbannya diterima Allah, dialah yang berhak dan layak untuk berkahwin dengan Iklimiya’”. Kedua dua beradik setuju dengan cadangan bapa mereka. Mereka bersegera menyediakan korban untuk diserahkan kepada Allah.

Selepas itu Adam bersiap sedia untuk musafir ke Mekah menunaikan haji dan tawaf. Setelah selesai menunaikan haji dan tawaf Adam pun berangkat pulang dan meninggalkan Hindun di Mekah. Manakala Qabil dan Habil membuat persiapan untuk menyerah korban masing masing kepada Allah. Tanda korban diterima oleh Allah ialah turun cahaya putih dari langit lalu memakan korban itu, manakala tanda korban itu tidak diterima ialah korban itu dibiarkan begitu sahaja sehingga rosak tanpa disentuh oleh manusia, binatang dan burung.

Habil pun keluar pergi ke kandang kambingnya untuk memilih seekor kambing paling baik dari ternakannya. Akhirnya Habil memilih seekor kambing yang paling gemuk, paling kuat dan yang paling cantik untuk dijadikan korban. Oleh kerana Habil amat mencintai Allah, justeru itu dia memilih dan menyerah korban yang terbaik, yang ada di sisinya untuk Allah SWT.

Ada pun Qabil ialah seorang yang amat mementingkan diri sendiri. Dia pergi ke ladangnya untuk memilih hasil tanaman untuk dijadikan korban. Akhirnya dia memilih hasil tanaman yang paling buruk sebagai korban yang diserahkan kepada Allah. Itu bukanlah suatu perkara yang pelik dari Qabil kerana sikapnya yang mementingkan diri sendiri.Sikap orang yang mementingkan diri, dia tidak sanggup memberi apa yang terbaik dari miliknya untuk dikorban kepada orang lain sekali pun kepada Allah.

Setelah Qabil dan Habil memilih korban masing masing, mereka berdua pergi ke puncak bukit dan meletak korban mereka di sana. Mereka menunggu keputusan dari Allah. Masa penantian terus berjalan.Habil mengetahui bahawa korbannya akan diterima oleh Allah kerana dia telah menyediaka korban yang terbaik dari miliknya. Manakala Qabil dia berangan angan, bahawa dialah yang akan berjaya, sedangkan dia tahu bahawa Allah akan menerima korban Habil.

Masa yang ditunggu tunggu pun tiba. Mereka berdua nampak cahaya putih dari langit, lalu cahaya tersebut terus menyambar korban Habil. Habil pun terus sujud bersyukur kepada Allah kerana telah menerima korbannya. Tinggallah korban Qabil di situ tanpa disentuh dan tidak diterima oleh Allah.


Tiba tiba muncul syaitan dari kanan, kiri, depan, belakang dan di sisi Qabil lalu berteriak “Ha! Ha! Ha! Iklimiya’ dah terlepas dari gengaman engkau ha! Ha! Ha! Sesungguhnya ketika bapa kamu di Mekah dia berdoa supaya korban Habil diperkenan oleh Allah dan tidak berdoa untuk kamu Ha! Ha! Ha!” 

Qabil terus bertempit kepada Habil! “Aku bunuh kamu!” Habil dengan tenang menjawab; “Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari orang orang yang bertaqwa. Jika sesungguhya kamu menggerakkan tangan kamu untuk membunuh ku. Aku sekali kali tidak akan menggerakan tangan ku untuk membunuh kamu, sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekelian Alam. Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali membawa dosa membunuhku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan orang orang yang zalim.
al-maidah-27al-maidah-28al-maidah-29
Al Maidah 27-29
Selepas itu Habil terus pulang ke rumah. Sebenarnya Qabil lebih gagah dari Habil dan mudah diperdaya oleh syaitan tetapi Habil walaupun lemah dari Qabil, dia tidak taat kepada syaitan dan tidak dengar pujukan syaitan. Habil tidak sanggup menyakiti saudaranya Qabil walaupun dia terpaksa membayar dengan harga dirinya.

Qabil tidak mampu mencari helah lagi, akhirnya Habil akan dikahwin dengan Iklimiya’ oleh bapanya kerana korban diterima oleh Allah. Lalu pemikiran jahat terus bergelombang kuat dalam pemikiran Qabil seperti laut yang bergelombang ganas di waktu malam yang gelap yang tiada penghujungnya atau tidak ada jalan keluar melainkan ia membunuh Habil.

Qabil terus berjalan mundar mandir ke hulu ke hilir tidak tahu ke mana arah tujuan, sehingga lewat malam barulah ia sampai ke rumahnya. Pada malam itu dia tidak dapat tidur, seolah-olah malam, langit dan bumi semuanya menentangnya dan menyokong Habil. Syaitan terus menghasutnya “Ha! Ha! Ha! Qabil tidak dapat kahwin dengan Iklimiya’ yang cantik jelita Ha! Ha! Ha! Alangkah indah dan bahagianya Habil dan Iklimiya’… ” begitulah berlalunya malam itu Qabil tidak dapat tidur, sedar sedar hari sudah siang dan dia bertekad hari aku akan bunuh Habil.

Habil seperti biasa awal awal lagi telah keluar bersama ternakannya di kaki bukit.Qabil tidak pergi ke ladangnya sebaliknya dia mengekori Habil tanpa disedari. Dari tempat persembunyiannya dia melihat Habil begitu leka menjaga binatang ternakannya. Dia perlahan lahan mendekati Habil sambil membawa seketul batu yang besar. Setelah dia betul betul berada di belakang Habil, dia terus memukul kepala Habil tersembur darah keluar dari kepala dan Habil jatuh tersungkur tidak bernyawa lagi. Tiba tiba syaitan ketawa terbahak bahak “Kah! kah! kah! kah! kah!” kerana dia telah menang satu lagi peperangan menentang Adam. Pertama dia berjaya mengeluarkan Adam dari syurga, kedua dia menyaksi sendiri Qabil membunuh Habil.

Qabil termanggu di depan mayat saudaranya, dia tahu apa yang harus dilakukannya. Akhirnya dia memikul mayat saudara di atas bahunya dan terus berjalan tanpa berhenti dan tidak tahu apa perlu ia lakukan terhadap mayat saudaranya. Setelah lama berjalan dan merasa letih, dia pun berhenti berehat seketika tiba tiba dia terpandang dua ekor burung gagak sedang bergaduh sehingga seekor terbunuh. Lalu burung gagak yang masih hidup menggali lubang, apabila lubang siap digali burung gagak tadi menarik kawannya yang mati ke dalam lubang tersebut, kemudian burung gagak menimbus lubang tersebut setelah selesai menimbus burung gagak itu pun terbang. Qabil mengetahui Allah telah mengutuskan dua ekor burung gagak untuk mengajarnya bagaimana mengebumikan mayat saudaranya lalu Qabil menangis sambil berkata; “Aduhai celakalah aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti gagak ini, lalu aku dapat mengebumikan mayat saudara ku ini.”

al Maidah : 31
Peristiwa pembunuhan Habil, menyebabkan satu per enam daripada penduduk dunia ketika itu binasa. Selepas itu Adam pun sampai ke rumahnya pulang dari mengerjakan haji dan tawaf di Mekah. Peristiwa pembunuhan itu juga menyebabkan bumi tidak menyerap darah Habil, pokok tumbuhan tumbuhan mula tumbuh duri dan binatang menjadi liar dan takut mendekati manusia.

Setelah mengetahui Adam kembali, lalu Qabil segera menangkap dan memaksa Iklimiya’ lari bersamanya, pergi jauh dari bapanya. Adam berkata pergilah kamu bersama kemurkaan Allah dan kemarahan ku kepada kamu dan sesiapa yang melakukan perbuatan seperti kamu akan mendapat kemurkaan yang sama dari Allah.
Qabil juga mendapat balasan yang sama, akhirnya dia juga dibunuh oleh anaknya, dan bermula siri pembunuhan yang berterusan di dunia hasil perbuatan pembunuhan pertama oleh Qabil.

Adapun Adam a.s, Allah telah mengurniakan seorang anak lelaki yang baik dan taat bernama Shiis a.s dengan pengurniaan itu kebaikan telah berjaya mengalahkan kejahatan.
Beberapa pengajaran dari Kisah Qabil dan Habil:
  1. Permusuhan syaitan terhadap manusia, oleh itu kita jangan sekali kali taat kepada syaitan, bahkan kita wajib menjadikan sebagai musuh utama sebagai yang dikehendaki oleh Allah
  2. Maksiat punca kemurkaan Allah SWT dan taat adalah sebab mendapat rahmat Allah SWT.
  3. Kita hendaklah mengorbankan apa yang terbaik dari milik kita untuk Allah SWT.
  4. Kita hendaklah sentiasa taat pada perintah Allah dan beriltizam dengan syariat Allah SWT.
Rujukan:-
Al Maidah : 27-31
Cerita cerita dalam al Quran
Tafsir Ibnu Kathir

Sumber ustaz Muhammad Ismail

0 comments:

Post a Comment

 
Blog Mechalution © 2011 | Designed by Bingo Cash, in collaboration with Modern Warfare 3, VPS Hosting and Compare Web Hosting